Followers

Tuesday, July 6, 2010

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Hari Kiamat



Bahawa kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w telah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami dapat melihat Tuhan kami nanti pada Hari Kiamat?

Rasulullah s.a.w bersabda: Ya! Adakah kamu merasa sukar untuk melihat matahari pada siang hari yang cerah, yang tidak ada awan? Adakah kamu merasa sukar untuk melihat bulan pada malam purnama yang cerah tanpa ada awan?

Kaum Muslimin menjawab: Tidak, wahai Rasulullah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak akan mengalami kesukaran dalam melihat Allah Taala pada Hari Kiamat sebagaimana kamu tidak mengalami kesukaran untuk melihat salah satu dari matahari dan bulan. Apabila berlaku Hari Kiamat, para penyeru iaitu para Malaikat mengumumkan: Setiap umat hendaklah mengikuti apa yang mereka sembah sewaktu di dunia. Maka tidak akan kekal seorangpun dari mereka yang menyembah selain dari Allah, iaitu berhala-berhala. Mereka akan dihumban ke dalam Neraka sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya iaitu semasa di dunia menyembah Allah, orang-orang yang baik, orang-orang jahat dan saki-baki Ahli Kitab.

Maka orang-orang Yahudi. dipanggil dan ditanya Kepada mereka: Apakah yang kamu sembah sewaktu di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Uzair Ibnullah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta. Allah tidak pernah menjadikan walau seorangpun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apa yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus, wahai Tuhanku! Berilah kami minum. Lalu diisyaratkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka pun diiringi beramai-ramai ke Neraka, Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam Neraka.

Kemudian dipanggil pula orang-orang Nasrani lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu sembah semasa di dunia? Mereka menjawab: Kami menyembah Al-Masih anak Allah, lalu dikatakan kepada mereka: Kamu telah berdusta! Allah tidak pernah menjadikan walau seorang pun sebagai teman iaitu isteri atau anak. Maka mereka telah ditanya: Apakah yang kamu inginkan? Mereka menjawab: Kami haus wahai Tuhanku, berilah kami minum. Lalu ditunjukkan kepada mereka: Tidakkah kamu inginkan air? Lalu mereka diiringi ke Neraka Jahanam.

Neraka seolah-olah fatamorgana, sebahagiannya menghancurkan sebahagian yang lain. Mereka pun sama-sama terhumban ke dalam Neraka, sehinggalah yang tinggal hanyalah orang-orang yang dahulunya menyembah Allah Taala, orang-orang baik dan orang-orang jahat.

Maka Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam datang kepada mereka dalam bentuk yang lebih rendah daripada bentuk yang mereka ketahui lalu berfirman: Apakah yang kamu tunggu? Setiap umat akan mengikuti apa yang dahulunya mereka sembah. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Di dunia, kami memisahkan diri dari orang-orang yang menyusahkan kami iaitu untuk membantu penghidupan di dunia dan kami tidak mahu berkawan dengan mereka iaitu kerana mereka menyimpang dari jalan yang digariskan oleh agama. Allah berfirman lagi kepada mereka: Akulah Tuhan kamu! Mereka berkata: Kami mohon perlindungan daripada Allah kepada kamu, kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun untuk kali kedua atau ketiga sehingga sebahagian mereka hampir-hampir berubah iaitu kembali kepada kebenaran.

Maka Allah berfirman: Apakah di antara kamu dan Allah terdapat tanda-tanda yang membuatkan kamu dapat mengenali-Nya? Mereka menjawab: Ya! Lalu disingkapkan keadaan yang menakutkan itu dan setiap orang yang hendak bersujud kepada Allah dengan keinginan mereka sendiri sudah pasti akan mendapat keizinan Allah sedangkan orang yang akan bersujud kerana takut atau untuk memperlihatkannya, maka Allah akan menyatukan belakangnya sehingga tidak boleh bersujud. Setiap kali hendak bersujud, dia hanya dapat membongkokkan pada tengkuknya. Kemudian apabila mereka mengangkat kepala, Allah telah pun berupa sebagaimana gambaran yang mereka lihat pertama kali tadi.

Maka Allah pun berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka menyahut: Engkau Tuhan Kami! Kemudian dibentangkan sebuah jambatan di atas Neraka Jahanam dan yang dibenarkan ketika itu hanyalah syafaat dari Rasul-rasul di mana mereka mengucapkan: Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah. Kemudian ada yang bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah jambatan itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Ianya merupakan lumpur yang licin. Padanya juga terdapat besi berkait dan besi berduri. Di Najd terdapat tumbuhan berduri yang disebut Saadan. Maka seperti itulah besi-besi berkait tersebut. Kepantasan orang-orang mukmin melintasi jambatan tersebut ada seperti kerlipan mata, seperti kilat, seperti angin, seperti burung dan seperti kuda atau unta yang berlari kencang. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan: Selamat dan tidak mengalami apa-apa rintangan, selamat tetapi terpaksa menempuh banyak rintangan dan terkoyak serta yang terus terjerumus ke dalam Neraka Jahanam.

Pada saat orang-orang mukmin telah bebas dari azab Neraka, maka demi zat yang menguasai diriku iaitu diri Rasulullah nescaya tidak ada orang yang begitu mengambil berat dalam mencari kebenaran, melebihi orang-orang mukmin yang mencari kebenaran daripada Allah demi kepentingan saudara-saudara mereka yang masih berada di Neraka. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya dulu mereka berpuasa bersama kami, mendirikan sembahyang dan mengerjakan Haji.

Lalu Allah berfirman kepada mereka: Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal kerana wajah-wajah mereka diharamkan ke atas api Neraka. Maka ramai yang dapat dikeluarkan dari Neraka. Ada yang sudah terbakar hingga separuh betis dan lututnya.

Orang-orang mukmin itu berkata: Wahai Tuhan kami, tidakkah ada lagi yang tertinggal di dalam Neraka setelah Engkau perintahkan untuk dikeluarkan.

Allah berfirman: Kembalilah, siapa saja yang kamu temukan di hatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat satu dinar, maka keluarkanlah.

Jadi mereka dapat mengeluarkan ramai manusia. Lalu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Kami tidak tahu apakah masih ada di Neraka seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan.

Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan dihatinya ada kebaikan meskipun hanya seberat setengah dinar, maka keluarkanlah.

Mereka dapat mengeluarkan ramai lagi manusia. Setelah itu mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu, apakah di sana masih ada seseorang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan.

Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan di dalam hatinya terdapat kebaikan meskipun hanya seberat zarah, maka keluarkanlah. Bertambah ramai lagi yang dapat dikeluarkan.

Kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu adakah di sana masih ada pemilik kebaikan. Sesungguhnya Abu Said Al-Khudriy berkata: Jika kamu tidak mempercayaiku mengenai Hadis ini, maka bacalah firman Allah ayat 40 surah An-Nisa' إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisiNya pahala yang besar.

Allah s.w.t berfirman: Para Malaikat telah meminta syafaat, para nabi telah meminta syafaat dan orang-orang mukmin juga telah meminta syafaat. Yang tinggal hanyalah Zat Yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang. Lalu Allah merangkum dari Neraka dan mengeluarkan sekumpulan orang yang sama sekali tidak pernah melakukan kebaikan. Mereka telah menyedari. Kemudian mereka dilempar ke sebuah sungai di pintu Syurga, yang disebut Sungai Kehidupan. Seterusnya mereka keluar seperti tumbuhan kecil yang keluar selepas dari banjir. Bukankah kamu sering melihat tumbuhan kecil di celah-celah batu atau pohon, bahagian yang terkena sinaran matahari akan berwarna sedikit kekuningan dan hijau, sedangkan yang berada di bawah tempat teduh akan menjadi putih? Para sahabat mencelah: Seolah-olah engkau pernah menggembala di gurun.

Rasulullah s.a.w terus bersabda: Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalong, sehingga para ahli Syurga dapat mengenali mereka: Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga, tanpa amalan yang mereka kerjakan dan juga tanpa kebaikan yang mereka lakukan. Kemudian Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Syurga, apa-apa yang kamu lihat, ianya adalah untuk kamu. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, Engkau telah berikan kepada kami pemberian yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun di antara orang-orang di seluruh alam. Allah berfirman: Di sisiKu ada pemberian untuk kamu yang lebih baik daripada pemberian ini. Mereka berkata: Wahai Tuhan kami, apa lagi yang lebih baik daripada pemberian ini? Allah berfirman: RedhaKu, lalu Aku tidak memurkai kamu selepas ini buat selama-lamanya.

3 Perkara Berat Tentang Solat


"Sesungguhnya sembahyang itu sangat besar dan berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."

Sembahyang 5 waktu secara lahirnya tidak berat kerana bacaan tidaklah panjang, tidak perlu masa yang lama sekitar 15 - 20 minit, boleh dilakukan di mana-mana. Ia juga tidak memerlukan perbelanjaan wang yang banyak, tidak menyusahkan dan tidak memenatkan. Tetapi mengapa Allah menyebut besar dan berat melainkan pada orang-orang yang khusyuk?

Khusyuk yang dimaksudkan ialah orang mukmin yang jiwa tauhidnya mendalam, rasa kehambaan melekat kuat dan dibawa ke mana-mana. Rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan menguasai jiwa mereka. Mereka mudah kerjakan solat dalam kehidupan, bahkan rindu serta seronok mengerjakannya kerana mereka dapat bercakap-cakap, melepaskan perasaan rindu dan meminta ampun. Sembahyang sentiasa ditunggu waktunya hingga tidak sabar menunggunya dan terasa terlalu pendek. Oleh itu mereka banyakkan sembahyang sunat.

Berat ada 3 peringkat

A. Berat sebelum melakukan sembahyang

Bagi orang Islam yang hatinya tidak khusyuk oleh itu mereka merasa berat dan beban dengan sembahyang. Orang begini tidak akan menunggu waktu sembahyang. Apabila khusyuk dengan Tuhan tiada, sudah tentu ada perkara lain yang kita agung-agungkan yang menjadi otak dan jiwa kita mungkin banyak atau mungkin sedikit seperti cintakan glamour, anak isteri, kemasyhuran atau kesusahan ataupun semuanya. Orang yang begini tentu berat dan susah dengan sembahyang sebab gangguan kehidupan. Oleh sebab itu tidak larat untuk bersembahyang dan kalau dilakukan hanya fizikalnya sahaja sembahyang, fikiran dan hati tidak sembahyang.

Contoh - contoh berat sebelum sembahyang :
1. Bila rasa sayang meninggalkan kerja. Ketika mengerjakannya rasa terpaksa dan terseksa.

2. Bila sedang bersukaria dengan anak isteri tentu berat untuk sembahyang. Sembahyang pula dilakukan
lewat dan tidak dari hati.

3. Apabila sedang mesyuarat, sembahyang dipandang berat, maka sembahyang dipandang kecil dan
kerana bimbang dengan mesyuarat. Lalu tertinggal atau qada' maka tidak khusyuklah solat.

4. Apabila sedang berkelah/berseronok dengan kawan-kawan sudah tentu sembahyang tidak diambil
kiradan dipandang ringan. Apabila kenduri kendara kita jiwai supaya tiada cacat celanya maka
sembahyang dilupai atau dilakukan dengan rasa terpaksa.

5. Waktu musafir badan terasa letih, asyik dengan pemandangan dan seronok hingga terpesona maka
berat untuk melakukan sembahyang.

6. Apabila jiwa bertuhan tiada dan jiwa lemah, sembahyang tetap berat dan nak cepat-cepat. Lebih-lebih
lagi untuk melaksanakan ikrar di dalam sembahyang.

Oleh itu orang yang hanya berfikiran tauhid bukan berjiwa tauhid tetap berat untuk sembahyang. Apa yang diingati oleh orang yang tak khusyuk di dalam sembahyang ialah perkara yang dijiwainya selain dari Allah dan ia besarkan maka itulah yang ringan dan mudah dilakukan. Ingatan inilah yang menggantikan ingatan pada Allah. Kawan-kawan, anak isteri, mengira-ngira duit, setiap kesusahan, dendam kesumat dan setiap apa yang dijiwai sama ada seronok atau susah itulah yang datang dalam sembahyang.

B. Berat semasa sembahyang

Bila rasa bertuhan tiada, sembahyang rasa terpaksa. Oleh itu sembahyang dilakukan dengan cepat-cepat. Maka mengerjakan
sembahyang terasa penat. Berat, jemu, tak sabar, lambat, tidak bertenang-tenang lebih-lebih tak sabar untuk hayati/faham setiap lafaz yang dibacanya. Akhirnya dibaca tanpa roh. Jika tarikan dunia lebih daripada itu maka masuklah perkara-perkara lain. Dan sembahyang dirasakan penat, jemu dan akhirnya boleh sampai tinggal sembahyang

C. Berat menunaikan tuntutan sembahyang

Dia seronok dengan sembahyang tetapi tak faham tuntutan sembahyang. Sewaktu sembahyang berbagai ikrar dibuat. Contohnya meminta jalan yang lurus iaitu jalan rasul-rasul dan ingin hidup ikut jalan Allah dalam seluruh aspek hidup. Ikrar dan janji yang sama diulang lima kali sehari.

Bagi orang yang khusyuk terasa amat takut dan bimbang. Oleh itu bila selepas sembahyang mereka sungguh-sungguh ikut ajaran Islam. Maka bimbang takut tak dapat laksanakan. Bezanya dengan orang yang berjiwa tauhid ialah mereka selalu lupa dan bohong dengan Tuhan. Janji tidak ditunaikan dengan Tuhan bahkan lupa dan tidak sungguh-sungguh. Orang yang khusyuk hatinya sentiasa takut seolah-olah belum menunaikan janjinya. Mereka yang tidak khusyuk tak sungguh-sungguh tunaikan janji kerana tarikan kepada Tuhan telah lemah. Oleh itu kehendak Allah walaupun telah berjanji tetapi amat berat untuk dikerjakan. Oleh itu berjanji untuk hidup ikut syariat tetapi yang diikut ialah teori-teori akal. Sembahyang tidak dikaitkan dengan ekonomi, politik dan sosial. Membangunkan sembahyang ertinya membangunkan tamadun. Contohnya di dalam sembahyang memerlukan kain.

Perusahaan untuk membuat kain adalah fardhu kifayah bagi umat Islam, dari sini akan lahir teknologi pertanian, kejenteraan, pengangkutan, import ekspot dan lain-lain lagi. Sebab itu kita lihat banyak tamadun Islam yang dibangunkan oleh orang-orang dulu.


DOSA-DOSA MENINGGALKAN SOLAT



Meninggalkan solat adalah satu-satunya tembok pemisah antara keimanan dan kekufuran. Dosa-dosa bagi mereka yang meninggalkan solat fardhu adalah seperti berikut:

1) Solat Subuh

Satu fardhu yang ditinggalkan. Allah S.W.T. akan mencampakkannya ke dalam neraka selama 60 tahun (Setahun di dalam neraka umpama 1000 tahun di dunia).

2) Solat Zohor

Satu fardhu yang ditinggalkan. Dosanya sama seperti membunuh 1000 orang Islam.

3) Solat Asar

Satu fardhu ditinggalkan. Dosanya sama seperti meruntuhkan Kaabah.

4) Solat Maghrib

Satu fardhu ditinggalkan. Dosanya sama seperti berzina dengan ibu (bagi lelaki) atau bapa (bagi perempuan).

5) Solat Isya'

Satu fardhu ditinggalkan. Allah S.W.T. tidak akan meredhai hidupnya di atas muka bumi ini.


Thursday, July 1, 2010

ANCAMAN TIDAK MELAKUKAN SOLAT


Raisul Muhaddisin 'Allamah Maulana Muhammad Zakariya, Shaikh al-Hadith Universiti Mazahir Ulum, Saharanpur (India) menulis dalam bukunya berjudul Fadhilat Solat, bahawa orang yang melengah-lengahkan solat, dia akan menerima empat belas jenis azab, iaitu.

(1) Lima azab di dunia :

i) Tidak mendapat rahmat dalam kehidupannya.
ii) Kelhilangan nur (cahaya) di wajahnya.
iii) Tidak mendapat pahala bagi amalan-amalannya yang baik.
iv) Doa-doanya tidak dimakbulkan oleh Allah.
v) Tidak mendapat bahagian daripada doa-doa orang yang soleh.



(2) Tiga macam azab pada masa hendak meninggal dunia :

i) Mati dengan keadaan aib
ii) Dalam keadaan lapar.
iii) Dalam keadaan haus yang bersangatan.


(3) Tiga azab di dalam kubur :

i) Dihimpit oleh kuburnya hingga tulang-tulang rusuknya berceragah.
ii) Dibakar dengan api di dalam kuburnya - diguling-gulingkan dirinya di atas bara api siang dan malam.
iii) Ular yang berbisa dengan mata berapi dan berkuku besi yang panjangnya sama dengan perjalanan sehari, dilepaskan keatas dirinya. Ular itu bertempik, seperti bunyi guruh,
" Tuhanku telah perintahkan aku supaya memukul kamu hingga terbit matahari kerana kamu melengah-lengahkan solat Subuh hingga Zohor, kerana melengah-lengahkan solat Zohor hingga matahari masuk di ufuk, kerana melengah-lengahkan solat Asar hingga Maghrib, kerana melengah-lengahkan solat Maghrib hingga Isya', kerana melengah-lengahkan solat Isya' hingga Subuh." Ular itu terus memukulnya hingga sampai hari kiamat. Setiap pukulannya membenamkan hingga 70 hasta.


(4) Tiga azab selepas dibangkitkan :

i) Dihisab dengan serius.
ii) Kemurkaan Allah.
iii) Di campak ke dalam api neraka.

Dalam peristiwa Israk, Nabi SAW melihat satu kumpulan orang yang tegap dan sihat, tiba-tiba masing-masing mengangkat batu besar dihempapkan ke kepalanya. Kepala pun hancur. Kemudian kepala itu pulih seperti sediakala lalu mereka mengangkat semula batu dan dihempapkan ketas kepala mereka....Demikian berlaku berulang kali. Nabi SAW bertanya kepada Jibril,
"Siapakah mereka itu, wahai Jibril" Jibril berkata "Mereka itu ialah antara umatmu yang melalaikan solat lima waktu"



LIMA PILIHAN MENCARI SAHABAT


NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuan mu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada diri mu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuan mu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa diri mu, dia suka membantu dan meringankan mu serta menghiburkan mu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentingan mu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan
dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

"sampaikan! lah walau satu ayat" al hadis LAA HAULAWALA QUWWATAILLA