Followers

Thursday, September 30, 2010

HAK IBU BAPA HINGGA KE LIANG LAHAD



DAN Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.


Jika salah seorang daripadanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Uhh’, dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (Al-Israa’: 23-24)


Ayat ini popular dipetik setiap kali orang membicarakan kedudukan hak ibu bapa. Ini kerana ibu bapa diletakkan hak mereka selepas hak Allah, sekali gus menunjukkan betapa besar dan tingginya ganjaran mereka yang berbuat baik kepada kedua-dua insan istimewa itu.

Hakikatnya berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah tertumpu semasa hayat mereka sebagaimana yang selalu dipraktikkan atau menjadi keutamaan kepada anak-anak zaman sekarang.


Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Mushaddad Hasbullah menjelaskan, Islam adalah agama yang syumul. Tidak ada mana-mana agama yang memberikan penjelasan teliti tentang hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Islam.


“Peranan dan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa bukan semasa hayat mereka sahaja bahkan Islam telah menggariskan tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh anak-anak selepas kematian ibu bapa,” katanya.


Anak-anak juga perlu berbuat baik kepada ibu bapa selepas kematian mereka sebagaimana kisah dalam satu hadis Ibn Hibban yang bermaksud: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah dan bertanyakan: Wahai Rasulullah! Adakah masih terdapat kebaikan yang aku boleh lakukan kepada ibu bapaku selepas mereka meninggal dunia?


Rasulullah menjawab: Ya, berdoalah untuk mereka, mintalah keampunan Allah untuk mereka, tunaikanlah janji-janji mereka, hubungkanlah silaturahim yang tidak dapat dihubungi oleh mereka berdua semasa hidup, dan muliakanlah teman-teman mereka berdua.


Pun begitu, sekiranya seorang anak itu tidak sempat bertaubat atau mohon keampunan daripada ibu bapa semasa mereka masih hidup, kata Mushaddad, mereka masih berpeluang mendapat keampunan daripada Allah di atas penderhakaan dan keterlanjuran itu.

Apa yang penting, anak tersebut mestilah benar-benar insaf terhadap dosa yang dilakukan dan sentiasa berdoa supaya Allah mengampunkan dosanya dan dosa kedua-dua ibu bapa.


Berjihad

Menurut Mushaddad lagi, hak ibu bapa ke atas anak-anak amat besar sehinggakan Allah mendahului berbuat baik kepada ibu bapa daripada berjihad pada jalan Allah.


Ini dijelaskan hadis yang bermaksud: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah meminta izin untuk berjihad pada jalan Allah, lalu Baginda bertanyakan lelaki tersebut: Adakah kedua-dua ibu bapa kamu masih hidup? Lelaki itu menjawab: “Ya.” Maka Rasulullah bersabda: Berbuat baiklah kepada mereka berdua dan kemudian berjihad. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dalam hadis yang lain, Ibn Mas'ud menyebut bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai apakah amalan yang paling disukai Allah? Jawab baginda: Sembahyang pada awal waktu. Kemudian aku bertanya lagi: Selepas itu apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Aku bertanya lagi: Selepas itu apa? Jawab Baginda: Berjihad pada jalan Allah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah juga pernah ditanya mengenai hak ibu bapa ke atas anak-anak, Rasulullah menjawab: Kedua-dua ibu bapa adalah syurga dan neraka kamu. Syurga apabila kita berbuat baik dan taat kepada mereka dan neraka apabila kita menderhaka kepada mereka. (Riwayat Ibn Majah)


Jelaslah di sini bahawa ibu bapa mempunyai hak yang amat besar yang mesti dipenuhi oleh anak-anak. Antaranya mentaati dan melayani dengan memberi kasih sayang sepenuhnya sebagaimana ibu bapa menyayanginya ketika kecil. Kedua, sentiasa mendoakan ibu bapa yang masih hidup supaya Allah memberi rahmat kepada mereka dan mengampuni dosa-dosa yang pernah dilakukan oleh mereka; dan ketiga, memberi nafkah kepada mereka terutamanya ibu bapa yang miskin.


Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah hak bapa kamu, sesungguhnya anak-anak kamu adalah daripada sebaik-baik pekerjaan kamu, maka makanlah daripada hasil kerja anak-anak kamu.”


Ibn al-Qayyim pernah menyebut dalam bukunya Zaad al-Ma'aad: “Bukanlah daripada kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa jika seseorang itu membiarkan bapa ibunya bersusah payah bekerja sedangkan dia hidup senang-lenang.”


Lantaran itu, pinta Mushaddad, anak-anak wajib menyayangi ibu bapa kerana fungsi dan pengorbanan yang mereka curahkan tidak terbalas. Pengorbanan mereka membesarkan, mendidik, memberi ilmu, kasih sayang serta mengorbankan segala-galanya adalah untuk melihat anak-anak mereka menjadi anak soleh.


Abu al-Laith pernah menyebut bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata kepada Baginda: “Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku terlalu tua dan tinggal bersamaku. Lalu daku suapkan makan dan minumnya dengan tanganku sendiri serta aku ambilkan wuduk untuknya dan aku dukung dia di atas tengkukku. Adakah aku telah membalas jasanya?” Jawab Rasulullah: “Belum lagi walaupun satu daripada seratus tetapi engkau berbuat baik dan Allah akan membalas kepadamu dengan ganjaran yang besar di atas amalanmu yang sedikit itu.”


Tahlil arwah


Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)


Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)


Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.” Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.


Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu.

Balasan berbuat baik


KEREDAAN kedua-dua ibu bapa amat penting untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Antaranya;

1. Mendapat keredaan Allah. Sabda Rasulullah bermaksud: Reda Allah adalah pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah pada kemurkaan ibu bapa. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

2. Jaminan syurga. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah datang kepada Baginda meminta izin untuk berjihad pada jalan Allah, lalu Rasulullah bertanyakan lelaki tersebut: Adakah kedua-dua ibu bapa kamu masih hidup? Lelaki itu menjawab: “Ya.” Maka Rasulullah bersabda: “Dampingi mereka dan berbuat baiklah kepada mereka berdua, sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kaki mereka.” (Riwayat al-Tabrani)

3. Panjang umur dan murah rezeki. Rasulullah bersabda: Sesiapa yang inginkan umur panjang dan murah rezeki maka hendaklah dia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan menghubungkan silaturahim. (Riwayat Ahmad)

4. Jaminan mendapat layanan yang baik daripada anak-anak kelak. Sabda Baginda: Berbuat baiklah kamu kepada kedua-dua ibu bapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu. (Riwayat al-Tabrani)

WARIS


Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w.bersabda, "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..!


No comments:

Post a Comment