Followers

Friday, December 17, 2010

FITNAH !!




PERBUATAN fitnah boleh dikatakan banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Ini bertepatan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Hadis riwayat Muslim)
Fitnah diertikan sebagai sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban serta kelemahan orang dan memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan.
Adapun tujuannya pula adalah untuk memburukkan seseorang. Ada juga pihak yang memfitnah dengan tujuan mempromosikan diri di samping memburukkan pihak lawan. Ia bukan saja boleh menyakiti seseorang, malah boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam Islam, fitnah adalah salah satu sifat yang terkeji dan termasuk dalam dosa besar.

Daripada semua sifat mazmumah yang dihuraikan, fitnah menduduki tangga teratas dari segi kekejiannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan." (Surah al-Baqarah, ayat 191).
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina; yang banyak mencela; yang gemar menyebarkan fitnah." (Surah al-Qalam, ayat 29)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu, iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknati Allah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu?
Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina." (Hadis riwayat Muslim)
Hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir dengan gunting.
Baginda SAW bertanya kepada Jibril: "Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar fitnah." (Hadis riwayat al-Tabrani)
Lazimnya perbuatan memfitnah boleh berlaku kepada setiap orang, akibat didorong oleh perasaan tamak, iri hati, mementing diri sendiri dan lain-lain sifat negatif.
Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu mengutamakan keduniaan melebihi kepentingan agama.

Ini boleh mendatangkan kesan buruk seperti menjatuhkan keaiban seseorang dan seterusnya mengundang perpecahan serta perbalahan dalam masyarakat Islam.
Ini kerana orang yang difitnah akan mempertahankan diri dan apabila tahap kesabaran mula hilang, ia menyebabkan seseorang itu bertindak lebih agresif dan di luar batasan kemanusiaan.
Diceritakan pada zaman dulu, ada seorang lelaki pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba.
Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah.
Oleh kerana, lelaki itu menganggap memfitnah satu perkara yang ringan, maka beliau bersetuju membeli hamba berkenaan.
Selepas agak lama berada di rumah majikannya, hamba itu mula berkata kepada isteri majikannya, bahawa suaminya ingin berkahwin lagi.
Lalu hamba itu mencadangkan isteri majikannya cepat-cepat menggagalkan perkahwinan dengan ubat guna-guna, iaitu mengambil beberapa helai bulu roma leher suaminya.
Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau cukur yang tajam supaya tidak terasa sakit ketika suaminya tidur.
Oleh kerana si isteri ini benar-benar percaya, lantas ia berusaha mendapatkan pisau cukur yang tajam.
Kemudian hamba itu pergi pula memberitahu tuannya dengan berkata, "Isterimu akan membunuhmu ketika kamu sedang tidur, kerana itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan berpura-pura tidur."
Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba isteri datang membawa pisau cukur yang tajam, dan ketika memegang leher suaminya, si suami segera bangun dan merampas pisau cukur daripada tangan isterinya lalu terus menyembelihnya.
Maka pada keesokan harinya keluarga si isteri menuntut kematian itu dengan bunuh-membunuh antara kedua-dua keluarga.
Ada dua pengajaran penting daripada kisah ini pertama, fitnah tidak boleh dianggap suatu perkara yang remeh, kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat hingga ke tahap pembunuhan dan kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita yang disampaikan.


sumber : Akhbar Berita Harian

1 comment: